Thursday 9 August 2018

Cekodok viral versi durian

Teks: Hariyanti Baharum

Assalamualaikum

Musim durian kali ini dengar-dengar murah betul harganya. Serendah RM 10 sekilo buatkan jiwa tergugat juga ya. Hehe..

Kami suami isteri tidak kurang ikut terjebak sama sementelah pergi ke Giant Taman Permata ada pula peniaga durian betul-betul di selekoh masuk Giant. Apa lagi suami pun bertanya harga dan kami terus membeli dua biji buat makan berdua. Lagi pula anak yang seorang ini belum pandai makan durian.

Kami tidak bercadang untuk bikin apa-apa menu hanya mahu merasa keenakan isinya yang asli. Alhamdulillah menepati selera kami yang sukakan rasa manis sederhana beserta rasa lemak yang membangkit selera. Hmm usai makan rupanya tak dapat juga habiskan semua maka saya pun simpankan dalam bekas bertutup dan diamkan beberapa ulas isi ke dalam peti sejuk. Esok- esok pula kita sambung nampaknya.

Memang rezeki hujung minggu itu terfikir pula nak buat cekodok tapi tiada bilis. Ting!! Teringat isi durian masih berbaki tiga ulas terus saya ambil dan godeh-godeh tepung dan bahan lain maka siaplah sarapan kami buat pagi itu bersama sepinggan nasi goreng.

Jom kita semak resipi mudah ini.


Bahan:

2 cawan tepung gandum
2 cawan air panas
1 sudu besar gula
1/2 sudu kecil garam
3 ulas durian saiz kecik

Cara:

Gaul je semua bahan sampai sekata. Biar sejuk baru goreng sebab jari kakak tak kebal nak jemput masa adunan panas 😆
Rangup di luar lembut di dalam masa panas, dah sejuk pun masih lembut. Rasanya manis-manis buah saja ikut selera ahli rumah ini. Elok tambah isi durian baru power rasa dia. Tiga ulas pun masa goreng baunya dah harum semerbak.


Layannn..

Semoga bermanfaat!

Cendol durian tepung jagung

Teks: Hariyanti Baharum

Assalamualaikum


Hari ini saya suka untuk berkongsi resepi cendol durian kegemaran kami sekeluarga. Resepi cendolnya saya ambil dari sebuah blog yang menggunakan tepung jagung. Alhamdulillah menjadi setiap kalinya. Saya tidak biasa menggunakan tepung beras lagi pula tiada stok kapur makan di dapur saya.

Bila cuba makan cendol yang viral tak menepati citarasa maka kita buat sendiri. Jom!







Bahan:

1 cawan tepung jagung
3 cawan air
1/2 sudu kecil garam
Setitik dua pewarna hijau
*biasa guna air daun pandan tapi semalam tiada stok
Durian
Santan diperah dari 2 biji kelapa
Jagung manis dalam tin (optional)
Kacang merah (optional)
Air gula melaka
Air batu

Cara:

Masak bancuhan tepung atas api sederhana sampai kental dan berkilat. Tekan atas senduk lubang2 (beli di kedai RM2) ke dalam air sejuk tambah air batu sikit. Tepung yang dah masak biar atas dapur dengan api paling kecil sepanjang tekan cendol dalam acuan..buat sampai habis jangan putus asa ya 😆
Masak santan sambil kacau supaya tak pecah minyak. Tambah dua sudu kecil garam biar betul2 lemak baru sedap makan dengan cendol.
Campur cendol dengan bahan lain sesedap rasa. Santan tu dah lemak manis,durian pun sama jadi gula tak perlu banyak.


Alhamdulillah dah boleh makan ramai2.

Semoga bermanfaat ya!

Wednesday 8 August 2018

Diy meja mini daripada pintu almari terbuang

Teks: Hariyanti Baharum

Assalamualaikum

Inilah posting saya yang sangat saya tunggu kerana saya mahu pastikan hasil diy saya ini praktikal dan tahan lama.

Ia berita baik buat anda jika ada almari yang dah lama, rosak dek banjir mahupun terkesan dek serangan anai-anai. Saya lihat jika ada almari yang tersadai di tempat pembuangan sampah, biasanya bahagian pintu atau laci masih elok.

Jadi beberapa bulan lepas suami ada ambilkan dua keping pintu seperti itu yang masih kukuh lagi. Memandangkan sudah lama saya mahu meja kecil di ruangan bawah sinki dapur dan sesiku L yang suami belikan masih tidak terusik jadi saya fikir elok saya diy menjadi meja kecil saja.

Jadi, jom kita lihat apakah langkah dan bagaimana hasilnya.





Saya alaskan 'kitchen wallpaper' untuk kemasan akhir dan menambah seri pada meja kecil ini.


Ini hasil tangkapan selepas balik dari kampung. Banyak dan berat semuanya tapi meja ni masih berdiri utuh hingga hari ini tau.

Tiap kali balik dari pasar atau pasaraya memang saya suka letak hasil belian di atasnya berbanding letak di lantai. Lebih kemas dan bersih gayanya bagi saya.

Semoga bermanfaat ya!

Beg bola berzip

Teks: Hariyanti Baharum

Assalamualaikum

Hari ini saya suka untuk berkongsi hasil jahitan beg untuk letak bola anak saya. Disebabkan koleksi bolanya ada beberapa dan saya juga sudah pening bila asyik tak jumpa saja bila Irfan mahu main, kejap di dalam bilik, kejap di bawah meja.hehe..

Jadi terhasil jua penyelesai masalah 'negara' kami ini. Alahai macam besar je isunya kan. Bilamana lepas main mudah je terus simpan sini. Esok tak perlu merangkak bawah meja lagi nak cari bola. Hehe..Apa pun, jom kita lihat hasilnya.



Tutorial in sha Allah saya cuba hasilkan kemudian.

Semoga bermanfaat!