Saturday 28 April 2018

Pengalaman balik kampung naik ETS

Assalamualaikum

Jadual kami hari ini berbeza kerana seawal pagi jam 4 sudah bangun untuk bersiap. Balik kampung, yeay!!

Orang paling teruja adalah Irfan la walaupun jam 5 lagi bangun mandi dia tak kisah sebab sejak kelmarin lagi dia asyik tanya bila nak naik train balik kampung nak main dengan sepupunya, abang Adam. Memang suka betul dia dapat naik train.

Jika dikira ini kali keempat kami berpeluang melakukan perjalanan jauh menaiki ETS. Irfan sangat teruja semenjak pertama kali dapat naik. Kali ini bersama suami kerana kami pulang untuk melawat ayah yang bakal menjalani pembedahan.

Kami memilih perjalanan yang dijadualkan pada jam 6.45 pagi dan pertama kali juga ambil tiket seawal ini. Alhamdulillah semuanya lancar dan dipermudahkan olehNYA. Kemudahan khidmat Grab digunakan sebaiknya. Seawal jam 5.20 am suami menempah dan pemandu tiba agak cepat juga kebetulan beliau baru menurunkan penumpang berdekatan rumah kami. Keretanya pun baru lagi dan sangat selesa. Hehe

Jam 6am tepat kami tiba di KL Sentral dan menunaikan solat subuh sebelum turun ke platform 3. Irfan menunggu dengan sabarnya walaupun dalam hatinya ibu tahu dia nak cepat je masuk dalam train sebab dah berapa hari asyik sebut nak naik train. Hehe anak oh anak.

Kami memilih koc F seat 3A dan 3B yang menghadap ke hadapan supaya tak terasa pening jika duduk di tempat duduk yang menghala sebaliknya. Duduk saja wajib la bergambar sekeping dua sebelum Irfan sambung tidur lagi 3 jam. Ibu dan ayahnya pun tumpang sekakilah. Hehe

Alhamdulillah setelah 5 jam perjalanan kami tiba di Arau. Pengalaman yang sebegini sangat bermakna buat kami selain dapat mengeratkan silaturahim, suami juga dapat berehat tanpa perlu memandu sejauh 8 jam ke Perlis seperti biasa. Jika dahulu perjalanan keretapi memakan masa 12 jam untuk sampai ke kampung, sebaliknya kini lebih cepat, selesa dengan kemudahan tandas yang berfungsi dan bistro yang disediakan.

No comments:

Post a Comment