Tuesday 12 December 2017

Pengenalan Diri

Teks: Hariyanti Binti Baharum

Hariyanti Baharum nama diberi,
Orangnya kecil tak rendah tak tinggi,
Blog dicipta buat jurnal peribadi,
Marilah berkenalan dengan empunya diri.

Awal perkenalan dimulakan dengan ucapan Assalamualaikum dan salam sejahtera buat pembaca sekalian. Seorang yang baru mula berjinak dengan dunia penulisan blog ini merupakan seorang anak kampung yang berasal nun di utara. Tiada yang lebih indah apabila dibesarkan dengan sempurna dan penuh kasih sayang oleh mereka yang bergelar mak dan ayah. Makn ayah telah berusaha memberi pendidikan lengkap kepada saya sejak dari tadika hinggalah ke peringkat universiti. Alhamdulillah syukur kepada Allah moga rahmatNYA sentiasa mengiringi mak dan ayah.

Projek  Do it Yourself atau DIY ini bukanlah sesuatu yang baru bagi saya cuma istilah sahaja yang berbeza. Seingat saya ketika dibangku sekolah dahulu pernah ada satu rancangan televisyen yang memaparkan projek buat sendiri yang dinamakan rancangan Lakukan Sendiri. Terujanya saya ketika itu hingga asyik kata pada ayah jom la kita buat sendiri sekian dan sekian. Alahai punya kuat kan pengaruh TV tapi tidak mengapa juga jika ia sesuatau yang baik dan memberi manfaat. Dua perkara yang paling saya ingati ketika itu ialah projek bunga hiasan dimana saya mengutip bunga lalang di belakang rumah dan mencelup ke dalam cat lebihan yang ayah guna untuk mengecat rumah. Rak tergantung di suatu sudut di dalam bilik tidur saya reka menggunakan kotak yang terbuang dan inilah antara yang saya paling ingat ketika itu. Menjelang persiapan perkahwinan pada awal tahun 2013 yang lalu saya kembali melakukan aktiviti lakukan sendiri yang kini lebih dikenali sebagai D.I.Y. Alkisahnya dari baju, hantaran dan cenderahati (doorgift) perkahwinan mahu dilakukan sendiri maka bermulalah rutin baru ber-blogwalking. Rupanya ramai juga bakal pengantin (bride-to-be) yang telah DIY persiapan perkahwinan mereka. Jadi saya lebih bersemangat untuk mencuba dalam masa yang sama berjimat memandangkan kos sesuatu majlis perkahwinan semua sedia maklum memakan belanja yang besar. Alhamdulillah niat saya dipermudahkan-NYA.

Mesin jahit mini yang dibelikan suami ketika awal mengandung dahulu asalnya tidak disentuh langsung kerana saya memang tiada kemahiran menjahit. Hinggalah tergerak hati untuk menjahit langsir di rumah mak di kampung sementara menunggu masa melahirkan anak ketika itu. Berkat tunjuk ajar mak dan pembacaan di blog juga meniru langsir sedia ada, dari langsir ruang tamu hinggalah ke dapur saya berjaya hasilkan menggunakan mesin jahit mini saya itu. Kepuasan yang tak dapat digambarkan kerana mak gembira saya juga dapat mengasah bakat menjahit. Sejak itu saya mula bersemangat untuk DIY keperluan bayi pula.

Memegang jawatan suri rumah sepenuh masa dengan tugas mendidik seorang putera comel, tiap hari dipenuhi dengan tangis dan tawa. Semakin anak membesar maka banyak juga aktiviti yang perlu dimanfaat bersama. Saya juga gemar DIY aktiviti kanak-kanak berdasarkan panduan dari blogger yang berkongsi di blog mereka. Jadi di sini bermulalah projek DIY aktiviti kanak-kanak yang memang menyeronokkan dan tidak ternilai dengan wang ringgit.

Matlamat saya agar dengan blog ini selain menjadi catatan dan koleksi peribadi, ia mampu memberi ilmu, tips, idea dan panduan buat pembaca yang lain.

In Sha Allah semoga niat saya dipermudahkan Yang Maha Esa.


No comments:

Post a Comment