Thursday 9 August 2018

Cekodok viral versi durian

Teks: Hariyanti Baharum

Assalamualaikum

Musim durian kali ini dengar-dengar murah betul harganya. Serendah RM 10 sekilo buatkan jiwa tergugat juga ya. Hehe..

Kami suami isteri tidak kurang ikut terjebak sama sementelah pergi ke Giant Taman Permata ada pula peniaga durian betul-betul di selekoh masuk Giant. Apa lagi suami pun bertanya harga dan kami terus membeli dua biji buat makan berdua. Lagi pula anak yang seorang ini belum pandai makan durian.

Kami tidak bercadang untuk bikin apa-apa menu hanya mahu merasa keenakan isinya yang asli. Alhamdulillah menepati selera kami yang sukakan rasa manis sederhana beserta rasa lemak yang membangkit selera. Hmm usai makan rupanya tak dapat juga habiskan semua maka saya pun simpankan dalam bekas bertutup dan diamkan beberapa ulas isi ke dalam peti sejuk. Esok- esok pula kita sambung nampaknya.

Memang rezeki hujung minggu itu terfikir pula nak buat cekodok tapi tiada bilis. Ting!! Teringat isi durian masih berbaki tiga ulas terus saya ambil dan godeh-godeh tepung dan bahan lain maka siaplah sarapan kami buat pagi itu bersama sepinggan nasi goreng.

Jom kita semak resipi mudah ini.


Bahan:

2 cawan tepung gandum
2 cawan air panas
1 sudu besar gula
1/2 sudu kecil garam
3 ulas durian saiz kecik

Cara:

Gaul je semua bahan sampai sekata. Biar sejuk baru goreng sebab jari kakak tak kebal nak jemput masa adunan panas 😆
Rangup di luar lembut di dalam masa panas, dah sejuk pun masih lembut. Rasanya manis-manis buah saja ikut selera ahli rumah ini. Elok tambah isi durian baru power rasa dia. Tiga ulas pun masa goreng baunya dah harum semerbak.


Layannn..

Semoga bermanfaat!

Cendol durian tepung jagung

Teks: Hariyanti Baharum

Assalamualaikum


Hari ini saya suka untuk berkongsi resepi cendol durian kegemaran kami sekeluarga. Resepi cendolnya saya ambil dari sebuah blog yang menggunakan tepung jagung. Alhamdulillah menjadi setiap kalinya. Saya tidak biasa menggunakan tepung beras lagi pula tiada stok kapur makan di dapur saya.

Bila cuba makan cendol yang viral tak menepati citarasa maka kita buat sendiri. Jom!







Bahan:

1 cawan tepung jagung
3 cawan air
1/2 sudu kecil garam
Setitik dua pewarna hijau
*biasa guna air daun pandan tapi semalam tiada stok
Durian
Santan diperah dari 2 biji kelapa
Jagung manis dalam tin (optional)
Kacang merah (optional)
Air gula melaka
Air batu

Cara:

Masak bancuhan tepung atas api sederhana sampai kental dan berkilat. Tekan atas senduk lubang2 (beli di kedai RM2) ke dalam air sejuk tambah air batu sikit. Tepung yang dah masak biar atas dapur dengan api paling kecil sepanjang tekan cendol dalam acuan..buat sampai habis jangan putus asa ya 😆
Masak santan sambil kacau supaya tak pecah minyak. Tambah dua sudu kecil garam biar betul2 lemak baru sedap makan dengan cendol.
Campur cendol dengan bahan lain sesedap rasa. Santan tu dah lemak manis,durian pun sama jadi gula tak perlu banyak.


Alhamdulillah dah boleh makan ramai2.

Semoga bermanfaat ya!

Wednesday 8 August 2018

Diy meja mini daripada pintu almari terbuang

Teks: Hariyanti Baharum

Assalamualaikum

Inilah posting saya yang sangat saya tunggu kerana saya mahu pastikan hasil diy saya ini praktikal dan tahan lama.

Ia berita baik buat anda jika ada almari yang dah lama, rosak dek banjir mahupun terkesan dek serangan anai-anai. Saya lihat jika ada almari yang tersadai di tempat pembuangan sampah, biasanya bahagian pintu atau laci masih elok.

Jadi beberapa bulan lepas suami ada ambilkan dua keping pintu seperti itu yang masih kukuh lagi. Memandangkan sudah lama saya mahu meja kecil di ruangan bawah sinki dapur dan sesiku L yang suami belikan masih tidak terusik jadi saya fikir elok saya diy menjadi meja kecil saja.

Jadi, jom kita lihat apakah langkah dan bagaimana hasilnya.





Saya alaskan 'kitchen wallpaper' untuk kemasan akhir dan menambah seri pada meja kecil ini.


Ini hasil tangkapan selepas balik dari kampung. Banyak dan berat semuanya tapi meja ni masih berdiri utuh hingga hari ini tau.

Tiap kali balik dari pasar atau pasaraya memang saya suka letak hasil belian di atasnya berbanding letak di lantai. Lebih kemas dan bersih gayanya bagi saya.

Semoga bermanfaat ya!

Beg bola berzip

Teks: Hariyanti Baharum

Assalamualaikum

Hari ini saya suka untuk berkongsi hasil jahitan beg untuk letak bola anak saya. Disebabkan koleksi bolanya ada beberapa dan saya juga sudah pening bila asyik tak jumpa saja bila Irfan mahu main, kejap di dalam bilik, kejap di bawah meja.hehe..

Jadi terhasil jua penyelesai masalah 'negara' kami ini. Alahai macam besar je isunya kan. Bilamana lepas main mudah je terus simpan sini. Esok tak perlu merangkak bawah meja lagi nak cari bola. Hehe..Apa pun, jom kita lihat hasilnya.



Tutorial in sha Allah saya cuba hasilkan kemudian.

Semoga bermanfaat!

Saturday 28 April 2018

Pengalaman balik kampung naik ETS

Assalamualaikum

Jadual kami hari ini berbeza kerana seawal pagi jam 4 sudah bangun untuk bersiap. Balik kampung, yeay!!

Orang paling teruja adalah Irfan la walaupun jam 5 lagi bangun mandi dia tak kisah sebab sejak kelmarin lagi dia asyik tanya bila nak naik train balik kampung nak main dengan sepupunya, abang Adam. Memang suka betul dia dapat naik train.

Jika dikira ini kali keempat kami berpeluang melakukan perjalanan jauh menaiki ETS. Irfan sangat teruja semenjak pertama kali dapat naik. Kali ini bersama suami kerana kami pulang untuk melawat ayah yang bakal menjalani pembedahan.

Kami memilih perjalanan yang dijadualkan pada jam 6.45 pagi dan pertama kali juga ambil tiket seawal ini. Alhamdulillah semuanya lancar dan dipermudahkan olehNYA. Kemudahan khidmat Grab digunakan sebaiknya. Seawal jam 5.20 am suami menempah dan pemandu tiba agak cepat juga kebetulan beliau baru menurunkan penumpang berdekatan rumah kami. Keretanya pun baru lagi dan sangat selesa. Hehe

Jam 6am tepat kami tiba di KL Sentral dan menunaikan solat subuh sebelum turun ke platform 3. Irfan menunggu dengan sabarnya walaupun dalam hatinya ibu tahu dia nak cepat je masuk dalam train sebab dah berapa hari asyik sebut nak naik train. Hehe anak oh anak.

Kami memilih koc F seat 3A dan 3B yang menghadap ke hadapan supaya tak terasa pening jika duduk di tempat duduk yang menghala sebaliknya. Duduk saja wajib la bergambar sekeping dua sebelum Irfan sambung tidur lagi 3 jam. Ibu dan ayahnya pun tumpang sekakilah. Hehe

Alhamdulillah setelah 5 jam perjalanan kami tiba di Arau. Pengalaman yang sebegini sangat bermakna buat kami selain dapat mengeratkan silaturahim, suami juga dapat berehat tanpa perlu memandu sejauh 8 jam ke Perlis seperti biasa. Jika dahulu perjalanan keretapi memakan masa 12 jam untuk sampai ke kampung, sebaliknya kini lebih cepat, selesa dengan kemudahan tandas yang berfungsi dan bistro yang disediakan.

Monday 22 January 2018

Irfan suka melukis

Assalamualaikum,
Menjengah usia dua tahun setengah anak ibu irfan ni, makin hari ada sahaja telatah dia yang bikin hati ibu berlagu lalalala..hehe. Sudah pandai mendendangkan lagu ibu engkaulah ratu hatiku pula tu. Alahai anak hati ibu mana yang tak cair kan.
Dalam banyak keletah dia, ada suatu perkara yang tetap menjadi minatnya sejak kecil lagi ialah melukis. Boleh dikatakan setiap hari irfan akan menatap papan lukis bermagnet hadiah dari aciknya. Dari situ maka terpaparlah hasil seni jari jemari halusnya itu. Paling ibu tak tahan irfan akan suruh ibu teka  apa yang dilukisnya, katanya 'ni apa?'..hmm kalau betul tekaan kita maka gembiralah dia.  Kalau tak, boleh dimarahnya kita sebab salah teka. Hehehe anak hai anak.
Permulaan memang irfan hanya menconteng tanpa nampak hasilnya kemudian selepas kerap kali melihat ibu melukis di hadapannya, irfan mula meniru dan lama kelamaan dia dah pandai membuat bulatan penuh. Sejak hampir setahun rasanya sudah kelihatan hasil bentuk-bentuk yang lebih jelas. Alhamdulillah
Jadi di sini ibu nak abadikan beberapa hasil lukisan irfan yang sempat ibu ambil. Esok-esok irfan dah besar boleh 'throwback' gambar ni semua kan.


DIY homemade playdough

DIY homemade playdough

Assalamualaikum..

Entri ini saya ingin kongsikan tentang playdough yang saya sediakan untuk anak teruna saya ni. Anak usia 2,3 tahun memang gemar meneroka dan punyai sikap ingin tahu yang tinggi. Jadi playdough adalah salah satu bahan yg boleh dijadikan aktiviti yang membina buat anak kita. Berdasarkan pengalaman saya sejak beberapa bulan lepas memperkenalkan playdough kepada irfan, memang beliau akan fokus bermain dan gemar menguli dan membentuk hingga kadang beliau seakan leka dengan permainan barunya ini. Suatu petanda yang baik kerana ia boleh menjadi penyelamat kepada isu gadjet dan televisyen yang sering diperkatakan kini. Selain membantu anak meneroka warna dan bentuk, bermain playdough ini boleh membantu merangsang deria sentuh dan kekuatan otot tangan anak in sha Allah.

Jadi di sini saya kongsikan cara yang saya guna selepas beberapa kali percubaan dengan bahan dan teknik yang berbeza berdasarkan pengalaman ibu-ibu yang berkongsi di blog mereka. Bahan semuanya biasa ada di dapur ibu-ibu maka tidak perlu ke kedai untuk cari krim tartar seperti yang biasa digunakan. Jom kita cuba buat ye.

Bahan:
1 cawan tepung gandun
3/4 cawan air
1/4 cawan garam halus
2 sudu besar air perahan limau (saya guna limau kasturi)
1 sudu besar cuka buatan
1 sudu besar minyak
Esen vanilla (untuk kurangkan bau cuka)
Pewarna cecair atau serbuk kunyit
* saya menggunakan kuali tahan lekat (non-stick)
* spatula- sangat membantu memudahkan kita menggaul adunan doh nanti

Cara-cara:
1. Masukkan semua bahan kecuali tepung. Dengan api perlahan biarkan sehingga bahan tadi kelihatan berbuih kecil di tepi kuali. Pada masa ini akan nampak berasap sedikit. Kacau perlahan
2. Masukkan tepung dan terus gaul hingga air kelihatan tersejat. Tepung masih tak tersalut semuanya tapi jangan bimbang, cuma kaup balik beberapa kali dan terus tutup api.
3. Terus kaup balik hingga membentuk doh dan tiada sisa tepung. Doh kelihatan berbintil sedikit tidak mengapa kerana kita akan uli kemudian.
4. Masukkan ke dalam besen dan biar sekejap dah agak suam terus uli biar lembut dan hilang bintil tepung.
5. Masa ni dah boleh bahagikan doh kepada beberapa bahagian untuk diwarnakan. Cara saya ialah ambil satu bahagian kemudian tekan biar berlopak di tengah dan tuang beberapa titik pewarna kemudian uli seperti menguli roti.
6. Siap playdough kita dan anak boleh terus main dengan pemantauan bagi anak kecil 2 tahun biar dia tahu ini bukan makanan dan tidak boleh masuk ke mulut ye.

Memandangkan doh ni memang sangat masin jadi kebarangkalian anak nak merasa dengan mulut tu agak rendah.

In sha Allah ini resepi yang paling tahan lama (berminggu) bagi saya kerana pernah juga mencuba yang ringkas tanpa masak tapi sehari sahaja dah berderai dan keras. Rumah pun bersepah dengan sisa playdough ni.

Saya belikan acuan biskut (cookie cutter) di Mr. DIY dan gunakan tutup kotak mainan sebagai lapik.




Boleh juga gunakan apa alatan yang ada di rumah atau acuan playdoh yang lain.

Semoga bermanfaat ya.