Thursday 14 December 2017

Kenapa DIY?

Teks: Hariyanti Binti Baharum

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Mulakan hari dengan senyuman kerana senyuman itu kan seindah suria yang membawa cahaya. Eh, macam lirik lagu pula kan. Hehe..

Cuba bayangkan bagaimana perasaan anda apabila kotak bijirin kegemaran anda bertukar menjadi rak buku yang comel, dihias mengikut warna dan hiasan kegemaran anda? Bagaimana pula jika blouse lama anda yang sudah tidak muat dipakai itu menjadi gaun kecil buat patung anak anda? Tiada pembaziran, malah poket anda juga terjamin selamat.hehehe

Buat sendiri, lakukan sendiri DIY atau yang seangkatan dengannya membawa maksud aktiviti yang dilakukan sama ada menghias, membina atau membaiki sesuatu tanpa bantuan daripada mereka yang lebih pakar.

Kenapa DIY menjadi pilihan? Adakah kerana mahu berjimat atau adakah atas sebab kepuasan. Jika ditanya kepada saya maka jawapan yang utama adalah kerana keseronokan merekacipta sesuatu dan yang keduanya mungkin lebih jimat. Ini kerana jimat itu juga subjektif kerana tidak semua projek DIY mampu menjimatkan wang dan masa kita. Hakikatnya ada kala lebih mudah dan ekonomi jika memilih apa yang tersedia di rak pasaraya berbanding membuat sendiri. Namun jika yang dicari tiada tersedia maka pilihan kedua tentulah bikin sendiri buka, dan inilah yang saya lakukan.

Selain dapat menambah ilmu dan mengasah kreativiti, sesuatu perkara yang  di-DIY membuatkan kita mampu mengubahsuai ia mengikut keperluan dan kehendak diri. Contohnya bagi yang pandai menjahit tentu mampu untuk DIY pakaian dengan rekaan, corak atau warna yang tersendiri dan kelihatan eksklusif. Silap hari bulan ada yang mahu menempah pula. Nah, kan dah jadi sumber pendapatan sampingan.

Sel-sel otak terasa sangat terhubung bila memikirkan idea-idea baru untuk DIY. Penafian, ini bukan iklan susu formula ya. Hehe..Bagi tiap individu, sebab dan matlamat mungkin berbeza. Walaupun apa pun saya yakin kita adalah orang yang      suka meraikan kejayaan-kejayaan kecil atas apa yang diusahakan setiap hari. Kembara DIY saya bakal bermula jadi nantikan apa yang akan dikongsi ya moga bermanfaat.

Tuesday 12 December 2017

Pengenalan Diri

Teks: Hariyanti Binti Baharum

Hariyanti Baharum nama diberi,
Orangnya kecil tak rendah tak tinggi,
Blog dicipta buat jurnal peribadi,
Marilah berkenalan dengan empunya diri.

Awal perkenalan dimulakan dengan ucapan Assalamualaikum dan salam sejahtera buat pembaca sekalian. Seorang yang baru mula berjinak dengan dunia penulisan blog ini merupakan seorang anak kampung yang berasal nun di utara. Tiada yang lebih indah apabila dibesarkan dengan sempurna dan penuh kasih sayang oleh mereka yang bergelar mak dan ayah. Makn ayah telah berusaha memberi pendidikan lengkap kepada saya sejak dari tadika hinggalah ke peringkat universiti. Alhamdulillah syukur kepada Allah moga rahmatNYA sentiasa mengiringi mak dan ayah.

Projek  Do it Yourself atau DIY ini bukanlah sesuatu yang baru bagi saya cuma istilah sahaja yang berbeza. Seingat saya ketika dibangku sekolah dahulu pernah ada satu rancangan televisyen yang memaparkan projek buat sendiri yang dinamakan rancangan Lakukan Sendiri. Terujanya saya ketika itu hingga asyik kata pada ayah jom la kita buat sendiri sekian dan sekian. Alahai punya kuat kan pengaruh TV tapi tidak mengapa juga jika ia sesuatau yang baik dan memberi manfaat. Dua perkara yang paling saya ingati ketika itu ialah projek bunga hiasan dimana saya mengutip bunga lalang di belakang rumah dan mencelup ke dalam cat lebihan yang ayah guna untuk mengecat rumah. Rak tergantung di suatu sudut di dalam bilik tidur saya reka menggunakan kotak yang terbuang dan inilah antara yang saya paling ingat ketika itu. Menjelang persiapan perkahwinan pada awal tahun 2013 yang lalu saya kembali melakukan aktiviti lakukan sendiri yang kini lebih dikenali sebagai D.I.Y. Alkisahnya dari baju, hantaran dan cenderahati (doorgift) perkahwinan mahu dilakukan sendiri maka bermulalah rutin baru ber-blogwalking. Rupanya ramai juga bakal pengantin (bride-to-be) yang telah DIY persiapan perkahwinan mereka. Jadi saya lebih bersemangat untuk mencuba dalam masa yang sama berjimat memandangkan kos sesuatu majlis perkahwinan semua sedia maklum memakan belanja yang besar. Alhamdulillah niat saya dipermudahkan-NYA.

Mesin jahit mini yang dibelikan suami ketika awal mengandung dahulu asalnya tidak disentuh langsung kerana saya memang tiada kemahiran menjahit. Hinggalah tergerak hati untuk menjahit langsir di rumah mak di kampung sementara menunggu masa melahirkan anak ketika itu. Berkat tunjuk ajar mak dan pembacaan di blog juga meniru langsir sedia ada, dari langsir ruang tamu hinggalah ke dapur saya berjaya hasilkan menggunakan mesin jahit mini saya itu. Kepuasan yang tak dapat digambarkan kerana mak gembira saya juga dapat mengasah bakat menjahit. Sejak itu saya mula bersemangat untuk DIY keperluan bayi pula.

Memegang jawatan suri rumah sepenuh masa dengan tugas mendidik seorang putera comel, tiap hari dipenuhi dengan tangis dan tawa. Semakin anak membesar maka banyak juga aktiviti yang perlu dimanfaat bersama. Saya juga gemar DIY aktiviti kanak-kanak berdasarkan panduan dari blogger yang berkongsi di blog mereka. Jadi di sini bermulalah projek DIY aktiviti kanak-kanak yang memang menyeronokkan dan tidak ternilai dengan wang ringgit.

Matlamat saya agar dengan blog ini selain menjadi catatan dan koleksi peribadi, ia mampu memberi ilmu, tips, idea dan panduan buat pembaca yang lain.

In Sha Allah semoga niat saya dipermudahkan Yang Maha Esa.