DIY homemade playdough
Assalamualaikum..
Entri ini saya ingin kongsikan tentang playdough yang saya sediakan untuk anak teruna saya ni. Anak usia 2,3 tahun memang gemar meneroka dan punyai sikap ingin tahu yang tinggi. Jadi playdough adalah salah satu bahan yg boleh dijadikan aktiviti yang membina buat anak kita. Berdasarkan pengalaman saya sejak beberapa bulan lepas memperkenalkan playdough kepada irfan, memang beliau akan fokus bermain dan gemar menguli dan membentuk hingga kadang beliau seakan leka dengan permainan barunya ini. Suatu petanda yang baik kerana ia boleh menjadi penyelamat kepada isu gadjet dan televisyen yang sering diperkatakan kini. Selain membantu anak meneroka warna dan bentuk, bermain playdough ini boleh membantu merangsang deria sentuh dan kekuatan otot tangan anak in sha Allah.
Jadi di sini saya kongsikan cara yang saya guna selepas beberapa kali percubaan dengan bahan dan teknik yang berbeza berdasarkan pengalaman ibu-ibu yang berkongsi di blog mereka. Bahan semuanya biasa ada di dapur ibu-ibu maka tidak perlu ke kedai untuk cari krim tartar seperti yang biasa digunakan. Jom kita cuba buat ye.
Bahan:
1 cawan tepung gandun
3/4 cawan air
1/4 cawan garam halus
2 sudu besar air perahan limau (saya guna limau kasturi)
1 sudu besar cuka buatan
1 sudu besar minyak
Esen vanilla (untuk kurangkan bau cuka)
Pewarna cecair atau serbuk kunyit
* saya menggunakan kuali tahan lekat (non-stick)
* spatula- sangat membantu memudahkan kita menggaul adunan doh nanti
Cara-cara:
1. Masukkan semua bahan kecuali tepung. Dengan api perlahan biarkan sehingga bahan tadi kelihatan berbuih kecil di tepi kuali. Pada masa ini akan nampak berasap sedikit. Kacau perlahan
2. Masukkan tepung dan terus gaul hingga air kelihatan tersejat. Tepung masih tak tersalut semuanya tapi jangan bimbang, cuma kaup balik beberapa kali dan terus tutup api.
3. Terus kaup balik hingga membentuk doh dan tiada sisa tepung. Doh kelihatan berbintil sedikit tidak mengapa kerana kita akan uli kemudian.
4. Masukkan ke dalam besen dan biar sekejap dah agak suam terus uli biar lembut dan hilang bintil tepung.
5. Masa ni dah boleh bahagikan doh kepada beberapa bahagian untuk diwarnakan. Cara saya ialah ambil satu bahagian kemudian tekan biar berlopak di tengah dan tuang beberapa titik pewarna kemudian uli seperti menguli roti.
6. Siap playdough kita dan anak boleh terus main dengan pemantauan bagi anak kecil 2 tahun biar dia tahu ini bukan makanan dan tidak boleh masuk ke mulut ye.
Memandangkan doh ni memang sangat masin jadi kebarangkalian anak nak merasa dengan mulut tu agak rendah.
In sha Allah ini resepi yang paling tahan lama (berminggu) bagi saya kerana pernah juga mencuba yang ringkas tanpa masak tapi sehari sahaja dah berderai dan keras. Rumah pun bersepah dengan sisa playdough ni.
Saya belikan acuan biskut (cookie cutter) di Mr. DIY dan gunakan tutup kotak mainan sebagai lapik.
Boleh juga gunakan apa alatan yang ada di rumah atau acuan playdoh yang lain.
Semoga bermanfaat ya.