Pages

Saturday, 28 June 2014

Tentang saya

Teks: Hariyanti Baharum

Assalamualaikum dan salam sejahtera

“Mak, besaq nanti cik nak kerja di rumah lah...”

Teringat kata saya kepada mak suatu ketika dulu semasa masih di bangku sekolah. Mak hanya tersenyum memandang anaknya yang seorang ini. Barangkali pada fikiran mak, saya menyebut hanya sekadar suka-suka saja. Pada masa itu saya sendiri tidaklah bagitu serius tentang apa yang keluar dari mulut saya secara spontan. Bila difikirkan agak kelakar juga omelan si anak kecil ni. Masakan tidak, entah dari mana datang idea bekerja dari rumah sedangkan bila ditanya tentang cita-cita tentu saya akan jawab “nak jadi businesswoman lah besaq nanti”. Sebenarnya dari kecil lagi saya sudah terbiasa melakukan pelbagai tugasan membantu mak di rumah termasuklah menyediakan herba-herba untuk diproses menjadi makjun kampung yang diusahakan mak secara kecil-kecilan demi membantu ayah. Jadi mungkin sedikit sebanyak ia memberi kesan dalam diri.

Inilah sedikit cebisan perjalanan hidup yang masih tersemat utuh dalam kotak fikir tuan empunya diri yang diberi nama Hariyanti oleh mak dan ayah. Saya dibesarkan oleh dua orang insan hebat, mak (Ishah Bt. Baharom) dan ayah (Baharum B. Mat Ali) dalam satu keluarga besar seramai 9 orang adik-beradik dimana saya anak yang kelima. Kami tinggal di utara semenanjung dalam suasana kehidupan yang sederhana. Alhamdulillah saya berpeluang menerima pendidikan yang sempurna sehingga peringkat universiti dalam bidang bioteknologi dan berkhidmat sebagai pembantu penyelidik setelah tamat pengajian.

Kini saya telah berkahwin dan menyandang jawatan pengurus rumah tangga (jawatan tetap yang diberi oleh Encik suami..hehe) disamping membantu masyarakat di luar sana mendapatkan kek coklat yang berkualiti keluaran Bumiputera dengan rasa yang lazat dan aroma yang memikat selera, iaitu Anis Chocolate Moist Cake. Apa yang saya lalui ini seolah refleksi kisah yang dikongsikan di atas walaupun pada asalnya mungkin sekadar omongon kosong sahaja. Alhamdulillah keluarga juga memberi sokongan dan sebagai seorang anak dan isteri, tiada yang lebih mebahagiakan selain mendapat restu daripada keramat hidup saya ini.

Menjadi ejen jualan kek tidak memerlukan saya untuk keluar menghantar kek pada setiap hari di kedai-kedai berhampiran. Jadi, saya punyai banyak masa di rumah selain melakukan rutin sebagai isteri. Pada suatu hari terdetik untuk memulakan kembali khidmat menaip dokumen seperti yang pernah saya lakukan dahulu semasa menimba pengalaman bekerja separuh masa di sebuah kafe siber. Bagi saya ia sesuatu yang mengujakan kerana dapat membantu ramai orang di luar sana. Mereka yang berpuas hati sudah tentu menjadi pelanggan tetap saya yang ada diantaranya adalah guru, peniaga dan pelajar.

Berbekalkan bantuan laptop yang sekian lama berkhidmat ini, saya mula mencari bagaimana untuk mengiklankan perkhidmatan menaip saya secara online. Aturan Allah sangat hebat apabila carian saya di google ketika itu menemukan saya dengan blog Puan Anys Idayu Zakaria. Setelah mengambil masa beberapa hari meneliti blog dan facebook beliau, saya nekad berdaftar sebagai pengurus Akademi Bekerja Di rumah (ABDR) yang diasaskan oleh Puan Masayu Ahmad. Jika sebelum ini saya pernah cuba-cuba untuk membuat blog, tapi tiada hasilnya setelah hanya berjaya menulis entri pertama. Akhirnya saya telah memadam blog tersebut dan barulah saya sedar menuntut ilmu biarlah berguru. Terngiang-ngiang kata-kata mentor pemasaran Dr. Azizan Osman dengan formula M.E.S.T.I., dimana M adalah merujuk kepada mentor. Jadi, nampaknya saya telah menemukan mentor yang dikasihi, Puan Anys Idayu Zakaria. In sha Allah dengan bimbingan mentor yang telah berjaya, saya yakin penulisan saya di blog bukan sahaja dapat mempromosi perkhidmatan dan produk malahan menjadi medium perkongsian maklumat yang berguna buat ramai di luar sana.  

Ketika membuat persediaan untuk majlis perkahwinan pada tahun lepas, sebenarnya saya telah terjebak secara tidak langsung dengan pelbagai blog yang menyediakan informasi berguna buat bakal pengantin (bride to be). Ia sangat memberi inspirasi buat saya yang pada ketika itu melakukan persediaan dengan perbelanjaan kecil. Dalam hati dah mula berangan, “suatu hari aku pun mesti buat blog, macam best je..macam best je hehe”. Sesuatu yang menarik ialah apabila saya berjaya merealisasikan projek DIY (Do it yourself) bagi beberapa barangan perkahwinan dengan bajet sendiri. Keyakinan mula datang untuk men-DIY lebih banyak item-item lain antaranya hiasan rumah daripada fabrik felt. Jadi dengan kesempatan ini saya yakin untuk berkongsi panduan DIY agar dapat dimanfaatkan bersama, in sha Allah.

Berbekalkan sedikit ilmu masakan yang dipelajarai daripada mak, buku masakan terbitan chef tempatan dan juga para blogger, saya akan berkongsi resepi manisan, kuih tradisi dan juga masakan ringkas lain buat para suri.

Akhir kata, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Niat yang benar in sha Allah tidak akan sia-sia. Semoga apa yang telah dirancang berjaya dilakukan dan doa saya agar Yang Maha Esa memberi kekuatan dan menambah kesabaran dalam hati ini.

Selamat membaca dan beroleh manfaat bersama-sama.

Salam Kasih dan Perkenalan ;-)

No comments:

Post a Comment